Skim Rondaan Sukarela

Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah suatu rancangan / skim yang dikendalikan oleh pemastautin sukarela yang mendiami Kawasan-Kawasan Rukun Tetangga demi menjaga keselamatan kawasan kejiranan mereka melalui aktiviti kawalan dan rondaan.

Syarat-syarat untuk menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah seperti berikut :

a) Terdapat permintaan oleh sekurang-kurangnya 20 orang penduduk yang tinggal di dalam Kawasan Rukun Tetangga.
b) Berumur 18 tahun ke atas.
c) Warganegara Malaysia. Bukan warganegara boleh terlibat di dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) dengan syarat hendaklah memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Skim Rondaan Sukarela (SRS) boleh dipohon oleh sekurang-kurangnya 20 orang pemastautin sukarela berumur18 tahun ke atas dan mendiami di dalam Kawasan Rukun Tetangga dengan melengkapkan Bahagian A Borang Enam yang boleh diperolehi daripada Pejabat Perpaduan Daerah / Bahagian di seluruh negara.Borang permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga untuk ditandatangani dan Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga seterusnya akan menghantar permohonan kepada Pegawai Perpaduan Daerah / Bahagian untuk semakan sebelum dimajukan kepada Pengarah Perpaduan Negeri untuk sokongan dan akhirnya kelulusan oleh Ketua Pengarah Rukun Tetangga.


Jika semua maklumat yang dikemukakan adalah benar, betul dan tepat, maka, kelulusan boleh diperolehi dalam tempoh masa seminggu dari tarikh permohonan sampai di ibu pejabat.

No comments: