Tabika Perpaduan

PENGENALAN

Tabika Perpaduan (Taman Bimbingan Kanak-kanak) mula diperkenalkan pada tahun 1976 di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat iaitu sebanyak 25 buah kelas ditubuhkan sebagai projek rintis. Ia diwujudkan di bandar dan pinggir bandar khususnya kawasan yang mempunyai Rukun Tetangga.
Tabika Perpaduan dilaksanakan bagi menyediakan pendidikan awal kanak-kanak berumur 4 – 6 tahun bagi membolehkan mereka menghayati nilai-nilai perpaduan, hidup bermasyarakat serta persediaan ke alam persekolahan kelak.
OBJEKTIF KHUSUS

1.         Menyemai dan memupuk semangat mihibah, kejiranan dan perpaduan dikalangan kanak-kanak.

2.         Menggalakkan kanak-kanak mengamalkan nilai-nilai murni, kerohanian dan moral yang positif.

3.         Menghormati dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

4.         Mengeratkan hubungan serta memupuk perpaduan dikalangan ibu bapa dan masyarakat.

5.         Mengamalkan nilai agama/moral dalam kehidupan harian.

6.         Memperkembangkan konsep kendiri ke arah pembentukan peribadi dan perwatakan yang positif.

7.         Memperkembangkan keupayaan fizikal serta mempraktikkan amalan kesihatan dan keselamatan yang betul.

8.         Mewujudkan perasan ingin tahu melalui pelbagai deria ke arah pembentukan kognitif, penaakulan dan penyelesaian masalah serta meneroka ilmu pengetahuan.

9.         Memperkembangkan daya kretif dan estetika.

KURIKULUM

Tabika Perpaduan menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkuat kuasa pada 1 Januari 2003. Terdapat 6 komponen kurikulum prasekolah iaitu :
•           Bahasa dan Komunikasi;

•           Perkembangan Kognitif;

•           Kerohanian dan Moral;

•           Perkembangan Sosioemosi;

•           Perkembangan Fizikal; dan

•           Kreativiti dan Estitika.


PENDIDIKAN KO-KURIKULUM

Tabika Perpaduan
1.         Pendidikan ko-kurikulum merupakan salah satu aktiviti/program yang ditekankan pelaksanaannya dalam pendidikan prasekolah di kelas-kelas Tabika Perpaduan.

2.         Objektif utama pelaksanaannya adalah sebagai mekanisme penyemaian dan pemupukan sikap kendiri dan personaliti seimbang di kalangan kanak-kanak.

3.         Antara jenis aktiviti/program tersebut:

•           Kelas Fardu Ain

•           Pertandingan Kesenian

•           Muzik dan Budaya (Melukis, Mewarna, Membaca, Bercerita, Tarian, Bersajak, Pakaian Beragam, Permainan Muzik dan Pertandingan Lagu Patriotik, Sukaneka,  Tabikarama, Program Bumi Hijau, Lawatan Sambil Belajar, Sambutan Hari Bersejarah, Sambutan Hari Peristiwa, Sambutan Harijadi dan Perayaan Pelbagai Kaum)

4.         Kegiatan ini juga menjadi asas kepada ibu bapa/penjaga dan masyarakat setempat untuk berinteraksi dan bertemu dalam kegiatan kemasyarakatan melalui program yang dilaksanakan. Pertemuan dan perjumpaan yang sering dilaksanakan melalui kegiatan kelas dan ko-kurikulum ini didapati memberi impak positif terhadap pemupukan sosialisasi yang sihat dalam kalangan masyarakat setempat.


5.         Pola sosialisasi yang kerap berlaku ini akan mewujudkan hubungan, interaksi dan semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa serta masyarakat umum. Mengikut analisa "Kajian Keberkesanan Kurikulum dan Ko-Kurikulum Serta Latihan Guru Tabika Perpaduan" yang dilaksanakan oleh Profesor Dr. Fatimah Daud pada tahun 2007 menunjukkan bahawa kegiatan ko-kurikulum telah membantu dalam penyemaian perpaduan kaum. Pelaksanaannya juga didapati pada tahap yang baik dan memuaskan. Oleh yang demikian, langkah-langkah bagi meningkatkan pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum perlu diteruskan.

No comments: